Tiada kepastian dalam kehidupan melainkan pengakhiranya. Mati itu pasti dan selalunya berlaku dengan tiba-tiba. Walaupun kematian tidak boleh dirancang tetapi perancangan boleh dibuat kepada harta yang ditinggalkan. Jika anda berpendapat bahawa harta pusaka tidak perlu perancangan sebab ada hukum faraid, anda harus luangkan sedikit masa membaca artikel ini.
Hukum faraid bukanlah penyelesaian kepada perancangan harta pusaka. Hukum faraid adalah mengenai pengagihan dan bukanya pentadbiran. Penyediaan wasiat, harta sepencarian dan hibah adalah elemen-elemen yang digunakan untuk perancangan dan pentadbiran harta pusaka.
Islam sangat mengambil berat tentang soal harta dan mengalakkan perancangannya. Namun hari ini, isu harta pusaka yang tidak dituntut adalah satu isu yang sangat besar.
Apabila seseorang mati, semua jenis asetnya akan dibekukan. Wang tidak boleh dikeluarkan dari akaun bank, unit amanah, tabung haji dan mana-mana institusi kewangan. Segala urusan mengenai tanah, rumah dan lain-lain harta tak alih juga tidak boleh diteruskan. Satu surat kuasa diperlukan sebelum aset-aset tersebut dapat dicaikan dan seterusnya diagihkan.
Surat kuasa ini apabila diperolehi oleh wasi yang dilantik oleh pewasiat (simati) dalam dokumen wasiat, ianya dipanggil Geran Probet.
Jika tidak berwasiat, ia dipanggil surat kuasa mentadbir dan diperolehi oleh pentabir yang dilantik oleh waris-waris si mati.
Proses perlantikan pentadbir bukanlah satu proses yang mudah kerana persetujuan semua waris yang berhak atas harta si mati mestilah didapati sebelum sesorang itu dilantik. Jika tiada persetujuan, proses ini akan berlanjutan dan proses yang seterusnya tidak dapat diteruskan. Ini bermakna, agihan yang ditetapkan oleh hukum syarak tidak boleh dilaksanakan.
Apabila pentadbir telah dilantik, beliau mesti mengumpulkan semua dokumen-dokumen berkaitan dengan harta si mati. Proses ini boleh mengambil masa yang lama sekiranya dokumen-dokumen tidak disimpan dengan baik.
Semua waris mesti dikenalpasti dan maklumat mengenai mereka mesti diperolehi. Proses ini juga boleh menimbulkan masalah seperti masalah waris tidak boleh dijejaki. Waris-waris adakalanya sibuk dengan urusan masing-masing dan tidak mengambil peduli terutamanya jika bahagian mereka kecil.
Bayangkanlah kemelut yang akan berlaku jika dokumen-dokumen sah berkenaan harta simati dah waris-waris sahnya tidak dapat dijejaki.
Setelah satu penilaian telah dibuat atas harta pusaka dan setelah mendapat sijil faraid daripada Mahkamah Syariah, barulah dapat ditentukan di mana untuk memohon surat kuasa mentadbir. Bergantung kepada jenis aset dan nilainya, surat kuasa mentadbir akan dikeluarkan oleh salah satu seperti tersenarai dibawah
- Amanah Raya Berhad – harta alih bawah RM, 600,000.00
- Pejabat Pusaka Kecil – harta alih & tak alih bawah RM 2 juta
- Mahkamah Tinggi – harta alih & tak alih bawah RM 2 juta
Pentadbiran harta tanpa wasiat adalah satu proses yang agak panjang dan rumit. Ia mengambil masa paling kurang 2 tahun atau mungkin melebihi 5 tahun. Tidak kurang juga terdapat kes-kes yang langsung tiada penyelesaian.Maka tidak hairanlah harta pusaka yang yang tidak dituntut mecapai berbilion ringgit kerana ramai yang mati tidak merancang harta pusakanya semasa hidup.
Berbeza dengan pengurusan harta pusaka yang berwasiat. Ia adalah satu proses yang jauh lebih cepat, sekitar setahun sahaja dan jika ada kelewatan ianya adalah karenah birokrasi pihak-pihak tertentu. Kadang-kala hanya dalam 6 bulan sahajaharta pusaka telah diagihkan seperti yang ditentukan oleh syariat.
Dalam wasiat, selaunya semua maklumat mengenai harta telah disenaraikan. Wasi telah pun dilantik oleh pewasiat. Ini bermakna tiada masalah yang boleh timbul oleh dua perkara ini. Tidak perlu persetujuan ahli-ahli waris mengenai wasi. Tidak perlu ke hulu dan ke hilir mencari dokumen.
Wasi boleh terus membuat permohonan untuk Geran Probet dan memohon pengesahan wasiat dari Mahkamah Syariah. Setelah Geran Probet diperolehi, wasi boleh mencairkan harta pusaka yang dibekukan.
Apabila seseorang itu tidak merancang harta pusakanya semasa hidup, dia mungkin menyebabkan hak ahli-ahli warisnya tidak dipenuhi setelah kematianya. Harta pusakanya terbeku tidak boleh dituntut atau lebih parah jika ianya diselewengkan oleh yang tidak berhak.
Buatlah perancangan harta pusaka untuk kebahagian dunia dan akhirat.