Inflasi

Inflasi adalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berkekalan sebuah negara. Ia diukur dalam peratus. Jika angka peratusan adalah positif, bermakna ada kenaikan harga. Sebagai contoh, Jika inflasi adalah 3%, barang yang berharga RM100 tahun ini akan berharga RM103 tahun depan.
Secara teorinya, inflasi adalah satu topik yang boleh dikaji dari berbagai aspek, tetapi untuk kita sedikit pengetahuan sudah memadai.
Terdapat empat kategori inflasi.

1. Inflasi Merangkak (Creeping Inflation) – Harga menaik sangat perlahan, di bawah 3%. Inflasi ini dianggap selamat dan baik untuk pertumbuhan ekonomi.

2. Inflasi Berjalan (Walking Inflation) – Harga barangan dan perkhidmatan menunjukkan peningkatan sederhana sekitar 4% ke 10%. Kerajaan akan lebih peka dan berada dalam keadaan bejaga-jaga sebelum inflasi ini menuju ke arah Inflasi Berlari.

3. Inflasi Berlari (Running Inflation) – Harga meningkat dengan sangat cepat antara 10% hingga 20%. Inflasi sebegini memberi impak yang sangat negatif kepada golongan miskin dan pertengahan dan memerlukan kawalan rapi kepada sistem kewangan.

4. Hiperinflasi (Hyperinflation) – Berlaku apabila harga naik secara mendadak sehingga peratusan inflasi boleh mencapai hingga tiga digit.Jika inflasi ini tidak dikawan, seluruh sistem ekonomi akan runtuh.

Inflasi boleh disebabkan oleh:
a) Permintaan – menarik (Demand-pull), di mana permintaan meningkat melebihi bekalan.

b) Kos-menolak (Cost-push), di mana bekalan berkurangan disebabkan kos pengeluaran meningkat, cukai bertambah atau kuantiti barang yang dikeluarkan berkurangan.

Inflasi menyebabkan nilai duit anda menurun dan yang menyebabkan kuasa membeli anda merosot. Ini bermakna jika anda tidak meningkatkan pendapatan anda, kualiti hidup anda juga akan turut merosot.
Kadar inflasi di Malaysia, seperti yang ditunjukkan oleh graf dibawah (dari tahun 1973 hingga 2018 ) adalah secara puratany di antara 3% ke 4% dan dijangka berada dalam julat itu untuk masa terdekat ini.

Kalis Inflasi ( Inflation Proof)

Satu cara untuk kalis inflasi adalah meningkatkan pendapatan anda. Jika inflasi adalah 5% anda perlu pastikan pendapatan anda meningkat lebih daripada itu, katakan 8%.

Satu lagi cara adalah dengan membeli saham, saham amanah, bon dan lain-lain produk kewangan yang boleh memberi pulangan melebihi 8%. Perlu disedari bahawa produk-produk kewangan mengadungi risiko dan adalah penting anda berbincang dengan penasihat kewangan yang bertauliah.

Pengetahuan tentang inflasi dan cara-cara mengatasinya adalah penting untuk anda meneruskan hidup di dunia tanpa kemerosotan dalam kualiti.